Terpedaya untung 20 peratus, wang simpanan RM463,792 lesap

Dalam tempoh 5 hingga 20 September lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM463,792 ke enam akaun yang diberi oleh suspek. Gambar hiasan
Dalam tempoh 5 hingga 20 September lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM463,792 ke enam akaun yang diberi oleh suspek. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Terpengaruh dengan pulangan lumayan yang menjanjikan keuntungan 20 peratus, seorang kontraktor pembinaan berputih mata apabila wang simpanan RM463,792 lesap selepas diperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 65 tahun yang juga pesara kerajaan berminat menyertai pelaburan selepas menerima tawaran melalui aplikasi WhatsApp pada awal September lalu.

Menurutnya, suspek menjanjikan pulangan 20 peratus bagi setiap modal dilaburkan melalui laman web yang diberikanya.

"Dalam tempoh 5 hingga 20 September lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM463,792 ke enam akaun yang diberi oleh suspek.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan tidak dapat mengelurkan sebarang keuntungan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Yahaya menambah, semua modal yang digunakan oleh mangsa bagi membuat pelaburan tersebut adalah hasil simpananya.

Katanya, susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!