PRK Mahkota penanda aras Kerajaan Perpaduan bertanding bersama PRU16

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi menjadi asas kekuatan kuasa politik Persekutuan sekali gus meletakkan penanda aras Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, Johor merupakan medan pilihan raya penting kerana mempunyai 26 kerusi Parlimen menjadikannya negeri di Semenanjung yang paling banyak kerusi.

“Bagi mengekalkan kestabilan negara serta mencapai lonjakan ekonomi kedua Malaysia, Kerajaan Perpaduan perlu bertanding bersama pada PRU16.

Usaha juga perlu dimulakan awal bagi membolehkan menempuh satu lawan satu di semua kerusi nanti.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota amat penting sebagai pembuka jalan menghadapi PRU16.

Bagi meletakkan penanda aras ini, kita perlu memastikan PH dan BN kekalkan kerjasama untuk memenangi pilihan raya dan mentadbir bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 2 Ogos lalu, penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan dalaman.

PRK tersebut menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, dan PH, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, pada 28 September 2024.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Chin Tong memaklumkan, Kerajaan Perpaduan berjaya memerintah dengan baik pada pilihan raya umum 2022.

“Ketiga-tiga gabungan, PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan. Atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, PH dan BN bersetuju untuk bekerjasama bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Kami mentadbir, menang dan kalah pilihan raya bersama dan kita mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang,” jelasnya.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!