'Saya menang berkat tolong mak jual kuih' - Mohd Arman
Lebih menakjubkan atlet Kedah itu mengakui tidak mempunyai sebarang pengalaman bertanding dan hanya menjalani latihan sebanyak dua kali sebelum ke Bumi Kenyalang selepas dipilih untuk mewakili negeri pada saat akhir.
Pelari berusia 27 tahun itu menyifatkan kemenangannya itu merupakan ‘berkat’ membantu ibu menjual kuih dan nasi lemak di kampungnya di Sik kerana dia sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan di dalam mahupun luar negara.
"Pingat untuk mak, saya tak pernah lari, tak ada pengalaman, berlatih dua kali sahaja sebelum datang sini, mak kata boleh menang kalau ada rezeki sebab tolong mak, saya tak sangka boleh menang.
"Saya nak jadi ‘pomen’ (mekanik) ada sijil belajar, tapi mak seorang jual sarapan pagi, ayah sudah dua tahun meninggal semasa pandemik Covid-19, jadi saya tolong mak jual kuih,” katanya sambil menahan sebak selepas tamat acara di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Arman Rosli yang beraksi acara larian jarak sederhana 1,500m kategori T36 (kecacatan fizikal) merangkul pingat emas dengan catatan 6:16.84 saat (s) meninggalkan atlet Perak, Mahfudz Mahzan (6:26.38s) dan pelari tuan rumah, Mohd Hishamudin Razali (7:02.37s).
Sementara itu, Kedah turut mendominasi acara 1,500m lelaki T20 (kecacatan fizikal) menerusi Muhamad Nurdin Ibrahim dengan catatan 4:21.26s sekali gus memecah rekod temasya yang dicipta Muhamad Haqeem Mustaqim dari Perlis pada edisi 2018 di Perak.
Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Mohd Fakrul Azimi Mohd Sukimi dari Kelantan (6:26.58s) dan Ku Muhammad Danish Syazwan Ku Harmizan dari Selangor (7:33.57s).
Muhamad Nurdin yang merupakan pemenang gangsa di Sukan Para ASEAN di Kemboja tahun lalu berkata berzikir sepanjang larian merupakan rahsia kejayaannya memperoleh emas hari ini.
"Saya memang tidak berhenti berzikir semasa berlari, saya jaga solat sebab itu merupakan kekuatan kita sebagai seorang Muslim, tapi pelari Kelantan tadi memang hebat, jadi untuk pastikan saya menang saya pecut tadi, sebab itulah saya boleh pecah rekod,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!