Inflasi Malaysia turun kepada 1.9 peratus pada Ogos - DOSM

Inflasi Malaysia turun kepada 1.9 peratus pada Ogos - Gambar hiasan
Inflasi Malaysia turun kepada 1.9 peratus pada Ogos - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kadar inflasi Malaysia bagi Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencecah 133.2, berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelum itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan IHP bagi Ogos 2024, DOSM berkata, peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (3.1 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).

Walau bagaimanapun, pakaian dan kasut masih kekal negatif 0.2 peratus pada Ogos 2024.

DOSM berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama direkodkan pada Julai 2024.

Dalam kumpulan ini, subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan sebanyak

2.2 peratus (Julai 2024: 2.9 peratus).

Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -1.1 peratus), dengan ayam segar, yang merupakan komponen terbesar dalam kategori ini iaitu sebanyak 32.6 peratus merekodkan penurunan 2.2 peratus (Julai 2024: -2.7 peratus).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9 peratus, kecuali Pulau Pinang (3.3 peratus), Pahang (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus) dan Selangor (2.3 peratus).

Artikel Berkaitan:

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan dan minuman dengan kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 2.8 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Pahang (1.9 peratus), Putrajaya (1.8 peratus) dan Terengganu (1.6 peratus)," katanya.

DOSM juga berkata, inflasi Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam (3.5 peratus), Filipina (3.3 peratus), Indonesia (2.1 peratus), dan Republik Korea (2.0 peratus).

Bagaimanapun, ia lebih tinggi berbanding di China (0.6 peratus) dan Thailand (0.4 peratus). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!