Paras air empangan meningkat namun belum capai 'tahap selamat' - PBAPP

Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Pathmanathan)
Empangan Air Itam. (Gambar kecil: Pathmanathan)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di sini menunjukkan peningkatan ketara susulan hujan lebat sejak awal bulan ini namun belum mencapai 'tahap selamat'.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, sehingga hari ini kapasiti efektif Empangan Air Itam mencapai 58.3 peratus manakala Empangan Teluk Bahang mencatatkan 31.3 peratus.

Beliau berkata, satu daripada misi utama PBAPP kini adalah untuk membolehkan pengisian semula dua empangan itu secara optimum dari September hingga Dis 2024 sebagai persediaan menghadapi musim kemarau seterusnya yang dijangka bermula Januari 2025.

"Bergantung pada jumlah hujan dan penggunaan air, adalah munasabah untuk kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat daripada 58.3 peratus hari ini kepada 85 peratus atau lebih menjelang Disember 2024.

"Ia memerlukan sejumlah besar hujan untuk kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang meningkat daripada 31.3 peratus hari ini kepada 80 peratus atau lebih menjelang Disember 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan berkata, berikutan fakta bahawa kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,159 juta liter (JL) berbanding kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang iaitu 19,240 liter (L), PBAPP akan terus melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) untuk mengisi semula Empangan Air Itam dengan cepat.

Sehubungan itu, PBAPP mengingatkan semua pengguna agar lebih berhemat dalam penggunaan air.

Sementara itu, di bahagian barat laut Pulau Pinang, beliau berkata pihaknya akan mengepam sebanyak mungkin air mentah dari kawasan tadahan air (KTA) Batu Ferringhi dan Sungai Pinang untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang sebelum Januari 2025.

Artikel Berkaitan:

Pathmanathan berkata pihaknya tidak dapat meramalkan dengan tepat jumlah hujan di KTA dua empangan itu dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Antara tiga empangan itu, Empangan Air Itam ialah empangan terkecil dengan kapasiti efektif maksimum sebanyak 2,159 JL dan memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 28,948 pengguna di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran.

Beliau berkata sejak Februari lepas, PBAPP telah melaksanakan AIDAP 2024 untuk mempertahankan rizabnya termasuk mengepam hingga 33 juta liter sehari (JLH) air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam yang meminimumkan pengeluaran harian dan memudahkan pengisian semula yang lebih cepat.

Kapasiti efektif satu lagi empangan iaitu Empangan Mengkuang berada pada 90.3 peratus sehingga hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!