Wanita Orang Asli Pos Pasik hilang sejak Jumaat

Zuzina Abine, 32, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Zuzina Abine, 32, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita Orang Asli dari Kampung Bring Lama Pos Pasik di Gua Musang dilaporkan hilang Jumaat lalu.

Kehilangan Zuzina Abine, 32, disedari oleh kakaknya kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu sebelum keluar mencarinya di kawasan kediaman mereka dan sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choo Foon berkata, selepas gagal menemui adiknya, kakak Zuzina kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada Ahad kira-kira jam 11.15 pagi.

"Kakaknya memaklumkan sudah berusaha mencari wanita berkenaan, namun gagal dan tiada sebarang petunjuk keberadaan adiknya," katanya melalui kenyataan.

Sik Choo memberitahu, penduduk kampung juga berusaha mencari mangsa namun tidak ditemui.

Jelas beliau, fizikal mangsa ialah setinggi 152 sentimeter (cm) dengan berat 43 kilogram serta berambut pendek dan kerinting.

"Wanita itu juga mempunyai bentuk badan sederhana dan ada kesan parut pada betis kanannya.

"Mangsa juga berkulit hitam manis, warna mata hitam, bibir tebal dan berbadan sederhana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berdekatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!