Cermin kereta pecah angkara 'seterika terbang'

Kesan retak pada cermin dan seterika yang dipercayai dibaling dari tingkat atas di sebuah kondominium di Wangsa Maju.- Foto: FB Orang Wangsa Maju.
Kesan retak pada cermin dan seterika yang dipercayai dibaling dari tingkat atas di sebuah kondominium di Wangsa Maju.- Foto: FB Orang Wangsa Maju.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik sebuah kereta mengalami kerugian selepas cermin hadapan kenderaannya pecah disyaki angkara 'seterika terbang' dalam kejadian di sebuah kondo di Wangsa Maju di sini.

Kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu kira-kira jam 1.45 petang dikongsi mangsa melalui Facebook 'Orang Wangsa Maju' semalam.

Mangsa memaklumkan dia meletakkan kenderaannya di Blok C di bahagian belakang kondo tersebut sebelum mendengar dentuman di kawasan berkenaan.

"Selepas diperiksa ada keretakan besar pada cermin hadapan kereta. Kami tambah terkejut terdapat seterika atas cermin yang retak itu.

"Ada saksi kata kepada saya yang dia ternampak seterika itu jatuh dari tingkat atas, dibaling oleh orang yang tidak bertanggungjawab," tulis mangsa melalui status Facebook tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Laporan dibuat oleh pengadu semalam yang mengesyaki cermin hadapan keretanya pecah disebabkan seterika yang dibaling dari tingkat atas.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!