Keputusan permohonan semakan isu peruntukan Parlimen Muar 18 November

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 November ini untuk keputusan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta tiga pihak lain, berhubung tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.

Pada 23 April lepas, Syed Saddiq dan tiga pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Lim Wei Jiet dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.

Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dimohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!