KPT saran penuntut IPT tingkat kesedaran keselamatan kesihatan pekerjaan

Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud
A
A
A

DUNGUN - Penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disarankan terus meningkatkan kesedaran kendiri mengenai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan mereka seharusnya boleh terus mengaplikasikan pengetahuan yang ada bagi mengurangkan risiko kemalangan industri.

"Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 41,278 kemalangan berkaitan kerja direkodkan hingga Jun 2024. Sebanyak 52.1 peratus atau 21,503 kes yang dilaporkan adalah kemalangan industri manakala 19,770 kes berkaitan perjalanan ke tempat kerja.

"Oleh itu, kemalangan membabitkan dua perkara ini perlu diberikan kesedaran kepada pelajar kita. Sebab bila mereka bekerja nanti dua aspek ini perlu diambil serius supaya mereka dapat mencegah kemalangan industri berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Mustapha berkata, program itu ialah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia melalui agensi masing-masing dalam memberikan kesedaran awal kepada penuntut politeknik dan kolej komuniti.

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan komuniti pengajian tinggi dalam kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), beliau berkata setakat ini tiada laporan diterima pihaknya berkait perkara itu namun menegaskan KPT akan terus memantau rapat perkembangan kes berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!