Mayat warga emas tertimbus berjaya dikeluarkan selepas 10 jam

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.
A
A
A

LAHAD DATU - Lelaki yang tertimbus selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lori tangki yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung berjaya dikeluarkan selepas kira-kira 10 jam kemalangan itu berlaku di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini pada Isnin.

Mangsa Abd Halim Bolong, 72, berjaya dikeluarkan kira-kira jam 12 tengah hari oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya terpaksa menggunakan alat bantu untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

"Dalam kejadian itu, kepala lori telah terhempap oleh treler yang beratnya 37 tan lalu masuk ke dalam lumpur dan menyebabkan mangsa yang berada di bahagian kepala lori turut tertimbus.

Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tertimbus bersama kepala lori dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu.
Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tertimbus bersama kepala lori dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu.

"Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan namun peralatan khas bomba tetapi tidak cukup, jadi terpaksa menunggu kereta tunda dan kren secara bergilir satu persatu untuk mengangkat kepala lori tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, operasi mengambil masa yang lama kerana perlu menggerakkan treler terbabit dengan menggunakan kren yang berkuasa tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Usaha menggerakkan treler dilakukan agar pasukan kami ada ruang untuk mengeluarkan mangsa.

"Mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi mangsa terlibat kemalangan di mana lori tersebut telah terjatuh ke gaung dengan kedalaman 10 meter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!