Pembawa pulang kapal selam pertama Malaysia kini Panglima Tentera Laut ke-19

Mohamed Khaled (kiri) dan Mohammad (kanan) menyempurnakan pemakaian pangkat Laksamana kepada Zulhelmy (dua dari kiri) yang dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-19 dalam Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Laut ke-19 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled (kiri) dan Mohammad (kanan) menyempurnakan pemakaian pangkat Laksamana kepada Zulhelmy (dua dari kiri) yang dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-19 dalam Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Laut ke-19 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komander yang membawa pulang kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis pada 2009 Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, hari ini dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-19.

Beliau yang memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut sejak 1 Ogos tahun ini, dinaikkan pangkat daripada Laksamana Madya ke Laksamana untuk dilantik sebagai Panglima Tentera Laut menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, yang akan bersara pada 2 Disember 2024.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan majlis pemakaian pangkat Zulhelmy disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Dilahirkan pada 2 Jan 1968 di Dato Keramat di sini, Zulhelmy menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada 1981 hingga 1985, sebelum mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1986, seterusnya ditauliahkan sebagai Left Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.

"Kerjaya Zulhelmy sebagai Submariner bermula pada 1993, apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia seterusnya, menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.

"Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis yang mengambil masa selama dua bulan, dalam pelayaran sulung yang bersejarah menuju ke Malaysia pada 10 Julai 2009,” menurut kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan ialah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Panglima Wilayah Laut 1, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional dan Timbalan Panglima Tentera Laut.

Zulhelmy merupakan pemegang Ijazah Sarjana National Security Administration dan menerima The Outstanding Alumni Award daripada National Defence College of the Philippines, selain merupakan alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.

Artikel Berkaitan:

"Seluruh warga the Navy People merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain di atas pelantikan sebagai Panglima Tentera Laut ke-19,” menurut kenyataan itu. - Bernama

@sinarharianonline

Pembawa pulang kapal selam pertama Malaysia kini Panglima Tentera Laut ke-19 #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Nasional #TenteraLaut #KapalSelam #Panglima #ZulhelmyIthnain

News - AShamaluevMusic

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!