Mengaku rasuah polis, penjual ulam didenda RM2,000

Penjual ulam dijatuhi hukuman denda RM2,000 selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis di Baling, Februari lepas, di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto: Bernama
Penjual ulam dijatuhi hukuman denda RM2,000 selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis di Baling, Februari lepas, di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mendenda seorang penjual ulam RM2,000, selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis di Baling, Februari lepas.

Zulkifli Yaakob, 63, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Lelaki itu didakwa memberi suapan RM350 kepada seorang anggota di Balai Polis Baling, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan iaitu air putih disyaki air law (sejenis air memabukkan).

Zulkifli dituduh melakukan perbuatan tersebut pada jam 1.30 tengah hari 11 Februari lepas di Kampung Lalang menghala ke Balai Polis Baling, Kampung Bongor, Baling.

Lelaki yang tidak berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!