Pelanggaran Bahasa Melayu: DBP tiada kuasa undang-undang, akta perlu dipinda

Ismail Sabri ( tengah) ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga di sini, hari ini.
Ismail Sabri ( tengah) ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda sebagai usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan akta itu penting bagi membolehkan DBP menguatkuasakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran mengenai Bahasa Melayu.

Beliau memberi contoh, taman dan jalan di negara yang tidak menggunakan nama dalam Bahasa Melayu sebaliknya penggunaan bahasa Sepanyol atau Perancis lebih menyerlah.

"Jadi walaupun di sekeliling menggunakan bahasa lain selain Bahasa Melayu DBP tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

"Pada simposium aspirasi bahasa yang pertama sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, saya telah memberi komitmen untuk meminda Akta DBP 1959, namun sehingga hari ini, masih tiada apa-apa perkembangan terbaharu.

Ismail Sabri bersama peserta ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga di sini, hari ini.
Ismail Sabri bersama peserta ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga di sini, hari ini.

"Kali terakhir Akta DBP 1959 ini dipinda adalah pada tahun 1995. Sudah hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini berdasarkan isu-isu semasa," katanya selepas merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail Sabri, DBP perlu diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, kerajaan perlu memperkasa Bahasa Melayu melalui urusan-urusan rasmi kerajaan terutama ketika mengadakan lawatan kerja ke luar negara.

"Hal ini sudah saya laksanakan dahulu dan tidak teragak-agak untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana ini adalah bahasa ibunda kita," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Bahasa Inggeris dan bahasa lain juga sangat penting.

"Bagaimanapun jangan sampai kita mengabaikan bahasa Kebangsaan, bahasa melambangkan bangsa," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!