PKINK buka peluang pelaburan di Pasir Mas Halal Park

PKINK membuka peluang kepada pelabur mahupun individu untuk melabur di Pasir Mas Halal Park yang siap dibina melibatkan nilai RM86 juta bagi fasa satu dan dua. - Gambar hiasan
PKINK membuka peluang kepada pelabur mahupun individu untuk melabur di Pasir Mas Halal Park yang siap dibina melibatkan nilai RM86 juta bagi fasa satu dan dua. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membuka peluang kepada pelabur mahupun individu untuk melabur di Pasir Mas Halal Park (PMHP) yang siap dibina melibatkan nilai RM86 juta bagi fasa satu dan dua.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zamri Ismail berkata, PMHP dibangunkan di tanah berkeluasan 108 ekar dan menyediakan sebanyak 50 lot industri dengan harga bermula RM400,000.

Menurutnya, PHMP mengalu-alukan pelaburan dalam bidang produk makanan halal, produk berasaskan bukan makanan halal seperti farmaseutikal, nutraseutikal, pergudangan, pengedaran serta logistik.

"Lot industri yang sedia ada dibina dengan infrastruktur lengkap seperti STP, elektrik, bekalan air serta jalan raya malah terletak hanya 10 minit dari Rantau Panjang dan sempadan Thailand sekali gus menjadikan ia lokasi strategik.

"Setakat ini, hampir 20 lot industri mempunyai pemilik. Bersesuaian untuk dijadikan sebagai gudang, aktiviti pengeluaran produk halal, ruang pejabat dan sebagainya sekali gus menyokong pembangunan ekosistem halal dan perdagangan rentas sempadan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Ketujuh Kolej Teknologi Darulnaim di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!