Hujan lebat, air pasang punca banjir besar di Kedah

Muhammad Sanusi (kiri) melawat mangsa banjir, Nafisah Mohd Janan yang ditempatkan di PPS SMK Tuanku Seri Indera Putera pada Isnin.
Muhammad Sanusi (kiri) melawat mangsa banjir, Nafisah Mohd Janan yang ditempatkan di PPS SMK Tuanku Seri Indera Putera pada Isnin.
A
A
A

JITRA - Hujan lebat berterusan bertembung dengan fenomena air pasang besar sejak beberapa hari lepas dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada banjir kedua terburuk di Kedah ketika ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md Nor berkata, banjir yang melanda Kedah ketika ini tidak seburuk banjir pada 2010.

Bagaimanapun, beliau mendapati, keadaan banjir di beberapa kawasan semakin pulih berikutan hujan makin berkurang dan fenomena air pasang berakhir.

"Ini banjir kedua terburuk yang pernah berlaku di Kedah selepas 2010. Sebab kejadian ini berlaku dipercayai akibat hujan banyak di kawasan luas yang bertembung dengan fenomena air pasang besar di laut.

"Apabila keadaan itu berlaku, air tersekat kerana tidak dapat menghilir ke laut dan itulah yang menyebabkan banjir kali ini agak besar dan berlangsung dalam tempoh agak lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, terdapat enam projek mitigasi banjir sedang dalam pelaksanaan di Kedah ketika ini melibatkan kos lebih RM512 juta.

Menurutnya, projek mitigasi banjir terlibat termasuklah RTB Sungai Kedah di Anak Bukit, RTB Bandar Jitra Selatan, RTB Baling, RTB Pendang pakej satu dan dua serta projek pembinaan infrastruktur sabo di Sungai Kupang, Baling.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, enam lagi projek dalam proses perolehan dan reka bentuk dengan kos sebanyak RM309 juta iaitu RTB Baling fasa satu, RTB Sungai Bongkok di Kuala Muda, RTB Bandar Baharu dan projek kawalan hakisan pantai di Kampung Sungai Pial hingga Kampung Tanjung Dawai di Kuala Muda.

"Antara lain, projek pemuliharaan Pantai Merdeka serta projek mengatasi masalah fenomena air pasang besar serta hakisan pantai di beberapa kawasan dalam negeri ini," katanya.

Muhamamd Sanusi berkata, sebanyak lapan projek lagi dipohon di bawah Rolling Plan 5 (RP5) berjumlah RM897 juta meliputi projek saliran mesra alam Taman Selasih di Kulim, RTB Sungai Temin dan Bata di Kubang Pasu, RTB Sungai Karangan di Kulim, projek pemuliharaan Sungai Anak Bukit di Kota Setar serta RTB Alor Semeliang di Padang Terap.

Ujarnya, kesemua projek mitigasi banjir terbabit amat diperlukan di Kedah.

"Kejadian banjir yang agak teruk pada tahun ini menunjukkan keperluan supaya projek-projek ini disegerakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!