UniSZA sedia bantuan awal kepada pelajar miskin

Nur Safuwanah dari Kampung Lapan Kotak, Besut bakal menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam turut menerima bantuan daripada UniSZA. - Foto: UniSZA
Nur Safuwanah dari Kampung Lapan Kotak, Besut bakal menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam turut menerima bantuan daripada UniSZA. - Foto: UniSZA
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal kepada dua pelajar miskin yang berjaya menyambung pelajaran di universiti itu.

Mereka ialah Mohamad Zahis Zahari, 19, dari Bachok, Kelantan yang ditawarkan mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Nur Safuwanah Mohd, 20, dari Kampung Lapan Kotak, Besut yang bakal menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Profesor Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata, bantuan berbentuk wang tunai RM500 dan komputer riba itu bagi memastikan dua pelajar cemerlang tersebut tidak tercicir dalam pelajaran meskipun mereka merupakan anak yatim dan memiliki adik-beradik yang ramai.

"Kedua-dua pelajar ini akan mendaftar sebagai pelajar baharu Ahad depan tetapi tidak mampu membuat persiapan kerana kesempitan hidup. "UniSZA akan mengambil inisiatif untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada peluang pelajaran.

Selain bantuan awal UniSZA turut menyalurkan pelbagai jenis sumbangan lain termasuk zakat, bakul makanan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zahis berkata, pada mulanya dia terkejut apabila menerima kunjungan pihak pengurusan UniSZA yang prihatin dengan kesusahan keluarganya.

Pemuda itu berkata, selepas kehilangan bapanya akibat kanser hati tahun lepas, keluarganya terpaksa bergantung kepada pendapatan ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Sebelum ini saya memang runsing memikirkan mana nak cari duit untuk bayar yuran untuk daftar. Apatah lagi nak membeli barang keperluan lain.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi Alhamdulillah bantuan yang diterima ini dapat membantu saya melengkapkan keperluan. Lebih-lebih lagi bantuan komputer riba yang amat penting untuk tujuan pembelajaran tetapi amat mahal harganya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!