Banduan larikan diri dari Hospital Sungai Buloh diberkas di Kuantan
SUNGAI BULOH - Banduan yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada 18 September lalu berjaya ditahan semula di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang pada Isnin.
Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, individu terbabit ditahan oleh pihaknya kira-kira jam 11 pagi.
"Pihak penjara sebelum itu menerima maklumat berkaitan banduan itu daripada orang awam.
"Individu itu kemudiannya berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Isnin.
Katanya, tindakan susulan akan diambil pihaknya berhubung kejadian itu.
"Berdasarkan syor dari Lembaga Siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas dan segera kepada mana-mana individu yang didapati cuai dalam menjalankan tugas hingga menyebabkan berlakunya kejadian banduan melarikan diri ini.
"Jabatan Penjara Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta pihak yang membantu sepanjang operasi pencarian ini dijalankan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang banduan yang memiliki lapan rekod jenayah melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, individu dikenali sebagai Kalai Kumar Anandan, 27, merupakan banduan di Penjara Sungai Buloh dihantar menerima rawatan akibat telinga berdarah.
Beliau berkata, individu berkenaan bagaimanapun bertindak meloloskan tangan yang bergari pada katil sebelum melarikan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!