22 taska di Melaka tidak berdaftar: Exco

Siew Lin (tiga dari kanan) bersama sepuluh ibu bapa yang menerima bantuan awal persekolahan di SK Lesung Batu di sini hari ini.
Siew Lin (tiga dari kanan) bersama sepuluh ibu bapa yang menerima bantuan awal persekolahan di SK Lesung Batu di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebanyak 22 Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di negeri ini dikesan tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, kerajaan negeri memandang serius dan meminta pihak pengurusan taska segera mendaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelakkan sebarang masalah.

Menurutnya, JKM akan melakukan pemeriksaan serta penguatkuasaan bagi meminimumkan bilangan taska yang masih belum mendaftar pada tahun ini.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 87 buah taska berdaftar manakala 16 buah taska telah ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti gagal menyediakan pintu kecemasan dan sebagainya.

"JKM sentiasa berhubung dengan pihak taska bagi memastikan mereka mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kesihatan dan bomba sebelum berdaftar dengan JKM," katanya pada majlis penyampaian bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lesung Batu di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Lesung Batu, Mohamad Zamhuri Mohamad Yatim.

Dalam perkembangan lain beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan dapat mengurangkan beban para ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, jumlah penerima bantuan meningkat seramai 302 murid pada tahun ini berbanding 274 murid pada tahun lalu daripada jumlah keseluruhan seramai 819 murid.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah salah satu usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang memerlukan dan saya juga berharap ibu bapa dapat memberikan sokongan setiap program anjuran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!