AirAsia kukuhkan rangkaian domestik, tambah 2,000 penerbangan mingguan
AIRASIA akan memperluas rangkaian penerbangan domestik di seluruh Malaysia dengan menambah 2,000 penerbangan mingguan dan sejumlah 150,000 tempat duduk bagi 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan menerusi usaha itu, bahagian pasaran AirAsia dijangka meningkat kepada 64 peratus, seterusnya memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam sektor penerbangan Malaysia.
"Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sempena akhir tahun, pengembangan ini akan menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada para penumpang tempatan dan serantau untuk menghubungkan mereka ke destinasi menarik di seluruh Malaysia,” tambahnya dalam kenyataan pada Isnin.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, di samping bukti komitmen dengan 1.7 juta tempat duduk tersedia untuk tempahan menjelang Disember ini, pihaknya juga menawarkan lebih pilihan kepada pelancong serantau untuk meneroka dan mengunjungi destinasi menarik, warisan budaya, serta merasai sajian popular Malaysia.
"Pertumbuhan dan keupayaan bahagian pasaran kami bukan sekadar menambah laluan penerbangan malah juga memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi negara dan meningkatkan rangkaian penerbangan. Usaha ini tidak dapat dilakukan oleh AirAsia sahaja,” katanya.
Fareh berkata, justeru, pihaknya menyeru semua pihak berkepentingan seperti pihak kerajaan, lapangan terbang, organisasi pelancongan dan peserta industri lain untuk bekerjasama secara kolektif dalam menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan untuk semua, terutama rakyat Malaysia.
Sejajar dengan usaha berterusan untuk meningkatkan pengalaman penumpang, AirAsia turut memperkenalkan AirAsia Plus, iaitu pakej yang menawarkan nilai tambah kepada penumpang yang terbang dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
"Pakej AirAsia Plus ini merangkumi bagasi kabin 7.0 kilogram, bagasi daftar masuk 20 kg, pilihan tempat duduk, hidangan dalam penerbangan dan insurans Jaminan Bagasi dan Ketepatan Masa (OTG),” jelas syarikat itu.
Pakej itu tersedia untuk tempahan bermula 8 Oktober 2024 bagi tempoh perjalanan mulai 9 Oktober 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!