'Makanan di PPS sedap, tapi hati teringat rumah' - Mangsa banjir

Faridah terpaksa berpindah ke PPS disebabkan rumah dinaiki air.
Faridah terpaksa berpindah ke PPS disebabkan rumah dinaiki air.
A
A
A

JITRA - Mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera memuji layanan diberikan kepada mereka yang terpaksa berpindah ke PPS terbabit berikutan kediaman dinaiki air.

Mangsa banjir,Siti Nuraini Saad, 37, berkata, makanan disediakan kepada mereka dirasakan sedap dan banyak dengan layanan diberikan kepada petugas di PPS amat baik, bagaimanapun hatinya seolah-olah berada di rumah.

Siti Nuraini
Siti Nuraini

Menurutnya yang tinggal di Bukit Pinang, dia bimbangkan keadaan rumah yang terletak berhampiran sungai berikutan tanah didapati makin mendap.

"Alhamdulillah, makanan sedap dan layanan pun baik sepanjang kami anak beranak menumpang teduh di PPS ini.

"Boleh dikatakan, setiap waktu kami disajikan pelbagai makanan berbeza seperti nasi ayam, nasi goreng dan sebagainya," katanya ketika ditemui di PPS SMK Tunku Seri Indera Putera, di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun Siti Nuraini berkata, dia sentiasa teringatkan keadaan rumah memandangkan bimbang berlaku tanah runtuh disebabkan struktur tanah yang mendap berikutan banjir itu.

Siti Nuraini memberitahu, mereka tidak sempat membawa banyak barang untuk tidur di PPS berikutan air naik dengan cepat, sekaligus tidur hanya bertilamkan sejadah.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, menurut suri rumah itu, mereka berterima kasih atas sumbangan diberikan pihak berkaitan memandangkan pendapatan suaminya yang berniaga terjejas akibat banjir yang melanda tersebut.

Seorang lagi mangsa banjir, Farida Md Nor,47, dari Kampung Budi turut mengakui penempatan mereka selesa dan mereka dijaga dengan baik.

Farida
Farida

"Makanan juga sentiasa ada dan memang cukup makan di PPS ini, cumanya saya asyik risaukan keadaan rumah yang masih bergenang air paras lutut (0.3 meter).

"Jadi, sekali sekala suami akan pulang sebentar untuk melihat keadaan barangan di rumah yang dinaiki air," katanya.

Menurut suri rumah dari Kodiang, Siti Nur Asmah Kholib, 38, dia berterima kasih atas layanan diberikan terbaik buat dirinya sekeluarga.

Siti Nur Asmah berkata, dia juga seperti mangsa banjir lain amat selesa di PPS namun sedih mengenangkan keadaan rumah dan kerosakan dialami akibat banjir.

Siti Nur Asmah
Siti Nur Asmah

Menurutnya, mereka pula tinggal agak jauh dari PPS, sekaligus tidak boleh pulang memantau keadaan rumah dengan kerap seperti mangsa banjir lain.

Seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Bagan, Nafisah Mohd Janan,61, berkata, makanan disediakan juga sedap sepanjang tempoh dia ditempatkan di PPS tersebut.

"Cumanya, ada nyamuk sedikit namun mak cik masih tidak boleh pulang ke rumah sebab rumah masih ditenggelami air,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!