Pulau Pinang cadang bina pusat proses najis ternakan di Kampung Selamat
TASEK GELUGOR - Kerajaan negeri Pulau Pinang bercadang untuk membina pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat bagi mengatasi isu pencemaran di Sungai Kereh di sini.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, cadangan pembinaan pusat itu akan dibawa pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan bersidang pada Rabu ini.
Menurutnya, pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan itu perlu berikutan pihaknya menerima banyak rungutan berkaitan pencemaran sungai yang berlaku selain ia selalu dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
"Cadangan ini adalah langkah penting untuk mengurangkan pembuangan sisa penternakan terus ke sungai.
"Ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Kita perlu bertindak segera untuk menyelamatkan Sungai Kereh dan memastikan penternak di kawasan ini menjalankan perniagaan secara profesional dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pada Isnin.
Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai meluangkan masa lebih dua jam meninjau ladang ternakan dan pusat penyembelihan babi di Kampung Selamat sebelum bergerak ke Sungai Kereh untuk melihat keadaan pencemarannya.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norazizi Adinan.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, pusat pemprosesan najis ternakan itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah pencemaran tetapi juga berpotensi menghasilkan gas dan elektrik yang akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk.
Sementara itu, Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr Tishrin Muhammad Ismail berkata, terdapat 61 ladang babi dengan 130,000 jumlah ternakan sekitar Kampung Selamat yang telah beroperasi lebih 40 tahun.
Beliau berkata, semua penternak memberi sokongan penuh untuk pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan agar usaha holistik kerajaan negeri serta agensi berkaitan menangani isu pencemaran tercapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!