Bekas Pengarah Urusan FTC dipenjara tujuh tahun, denda lebih RM7 juta terima rasuah
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pengarah urusan hari ini dipenjara tujuh tahun dan denda RM7,132,000, selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan memberikan pelbagai kontrak pembekalan kepada menantu dan anaknya berjumlah RM1.64 juta.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Rohaizat Ahmad, 59, yang merupakan bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC), selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan ke atas pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama," kata Azura yang memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun, menjadikan keseluruhan hukuman penjara berjumlah 68 tahun untuk kesemua 33 pertuduhan namun lelaki itu hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan dipenjara 644 bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Azura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu, dengan syarat jaminan sebelum ini sebanyak RM80,000 dikekalkan dan pembelaan perlu memfailkan rayuan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh jatuh hukum pada hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, Rozaihat didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya, dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya sebagai pembekal kepada FTC antaranya peralatan elektronik, cenderahati, baju kurung, kemeja-T berkolar, selain pengendali program latihan kemahiran.
Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, dengan melantik syarikat milik anaknya iaitu Hexa Tech Pride sebagai pembekal kepada FTC antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan.
Kesemua pertuduhan yang melibatkan jumlah RM1,648,810.60 itu, didakwa dilakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.
Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fareha Rahmat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda berjumlah RM8,244,053 ke atas tertuduh.
"Tertuduh memegang jawatan tinggi dalam syarikat tersebut, namun dia gagal menunjukkan contoh baik terhadap pegawai bawahannya dan orang awam. Hukuman dikenakan perlu setimpal supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang," katanya.
Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Rohaizat memohon hukuman penjara dan denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga, selain turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Seramai 40 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 9 Jan 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!