7,250 mangsa banjir masih berlindung di 35 PPS di Kedah

Keadaan banjir belum surut di Kampung Tanjung Seri, Derga.
Keadaan banjir belum surut di Kampung Tanjung Seri, Derga.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurang kepada 7,250 orang daripada 2,417 keluarga setakat 4 petang Isnin berbanding 8,017 daripada 2,594 keluarga pada 8 pagi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir terlibat ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Kedah.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,984 orang daripada 1,713 keluarga, diikuti Pendang dengan 1,604 orang daripada 488 keluarga.

Seramai 579 mangsa daripada 179 keluarga direkodkan di daerah Kubang Pasu dan 83 mangsa daripada 37 keluarga masih dicatatkan di Pokok Sena.

Setakat jam 4 petang, tiada lagi mangsa ditempatkan di PPS di daerah Bandar Baharu apabila mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, dua sungai di Kedah berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Pendang di Pendang.

Sungai Anak Bukit di Taman Aman berada di paras amaran, manakala Sungai Bata (MADA) di Sungai Temin/Bata berada pada paras jaga-jaga.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!