Tiada kejadian tanah mendap, hanya paip pecah - DBKL
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan berlaku tanah mendap atau lubang benam di Jalan Sultan Ismail seperti tular di media sosial.
Pada Isnin, tular video berdurasi 10 saat memaparkan keadaan jalan seakan mendap dengan pasukan bomba berada di lokasi bagi memantau keadaan.
Jalan menghala Jalan Raja Chulan itu ditutup kepada kenderaan menerusi pita kuning yang dipasang di lokasi kejadian.
DBKL menerusi kemas kini kepada media memaklumkan, jalan itu ditutup susulan kejadian paip pecah.
"Paip Air Selangor pecah. Sebarang pertanyaan boleh terus rujuk ke pihak Air Selangor," katanya.
Sementara itu Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.04 pagi sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Rozihafizam Othman berkata, pasukannya tiba ke lokasi jam 5.13 pagi mendapati terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik Air Selangor.
"Terdapat limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut.
" Kerja-kerja pembaikan paip bocor diserahkan kepada Air Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.
@sinarharianonline Tular satu rakaman video memaparkan dakwaan tanah mendap berlaku di Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur. Jalan raya tersebut ditutup dan dimaklumkan insiden itu dipercayai berpunca daripada paip pecah malah perkembangan semasa akan dikemas kini. #SinarHarian#SinarTerkini#TanahMendap#PaipPecah#KualaLumpur#BukitBintang#Video#Viral original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!