GISBH lumpuh, 572 mangsa diselamatkan - KPN

Razarudin melihat gambar operasi dilakukan PDRM menerusi Op Global di seluruh negara bagi mengesan dan menahan ahli GISBH. Foto SINAR HARIAN HISYAMUDDIN AYUB.
Razarudin melihat gambar operasi dilakukan PDRM menerusi Op Global di seluruh negara bagi mengesan dan menahan ahli GISBH. Foto SINAR HARIAN HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan struktur GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah lumpuh dan usaha menyelamatkan ahli serta mangsa melibatkan kanak-kanak sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, GISBH dianggarkan mempunyai ahli sekitar 10,000 orang termasuk kanak-kanak di seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga fasa keempat operasi dijalankan PDRM berhubung kes tersebut, sebanyak 572 mangsa telah berjaya diselamatkan.

Kata beliau, terdapat ahli GISBH bertindak melarikan diri apabila polis menyerbu premis kumpulan itu di seluruh negara.

"Ada yang bertindak melarikan diri secara tergesa-gesa kerana takut ditangkap.

"Apa yang saya ingin tegaskan, PDRM bukan mahu menangkap sebaliknya menyelamatkan ahli kumpulan yang dipercayai terpesong apabila mengikuti ajaran Tarekat Aurad Muhammadiyah.

"Saya ingin menasihatkan ahli GISBH yang masih berada di luar sana untuk menyerah diri bagi diselamatkan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya ketika ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung tindakan ahli GISBH melarikan diri ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan berperingkat atau berfasa dijalankan PDRM bagi mengesan ahli-ahli GISBH.

Katanya, melalui fasa keempat Op Global dijalankan PDRM, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditahan.

Selain itu menurutnya, seramai 187 mangsa berumur 18 tahun ke bawah telah berjaya diselamatkan.

Jelasnya, PDRM telah memperoleh kebenaran menahan reman terhadap semua suspek yang ditahan pada fasa keempat Op Global bermula dari 23 hingga 28 September.

"Sebanyak 35 kertas siasatan telah dibuka ke atas semua tangkapan mengikut perundangan negara," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!