[VIDEO] GISBH: Empat beradik terpisah dengan ayah sejak 2021 diselamatkan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyelamatkan empat kanak-kanak yang merupakan adik-beradik berusia enam hingga 11 tahun dalam Op Global di sebuah rumah amal Tapah, Perak, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua kanak-kanak itu juga telah terpisah dengan ayah mereka sejak 2021.

Razarudin melihat gambar rampasan dalam Op Global.
Razarudin melihat gambar rampasan dalam Op Global.

"Salah seorang kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, seorang kanak-kanak yang turut tular menjadi mangsa penderaan juga telah diselamatkan oleh pihak polis.

"Kanak-kanak tersebut pada ketika ini berada dalam jagaan pihak hospital dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan mendapati mangsa yang diselamatkan tersebut mengalami kesan penganiayaan dan trauma," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

"Semua suspek yang terlibat telah direman untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya menyelamatkan 187 mangsa berusia lima hingga 18 tahun dalam Op Global fasa 4.

"Kesemua mangsa sedang menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setelah proses saringan kesihatan telah selesai, mangsa akan diserahkan kepada JKM," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya mengenal pasti dan melaksanakan serbuan terhadap 280 premis sasaran di semua negeri di Semenanjung Malaysia yang berkait dengan organisasi GISBH bermula Sabtu lalu

"Sebanyak 59 premis telah berjaya diserbu dengan 156 individu termasuk 76 wanita berusia 18 hingga 65 tahun ditahan dan ada pelbagai rampasan.

"Sebanyak 221 premis pula didapati telah dikosongkan dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri," katanya.

Serbuan itu melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!