Belanjawan 2025: Pertimbang peruntukan tambahan naik taraf Sistem MYeHALAL

Mohd Na’im ketika ditemubual pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Al-Quran Tahun 2024M/1446H di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Isnin. Foto Bernama
Mohd Na’im ketika ditemubual pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Al-Quran Tahun 2024M/1446H di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan tambahan diperlukan dalam Belanjawan 2025 bagi menaik taraf Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL) sebagai usaha mempercepatkan proses permohonan dan pensijilan halal pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pembangunan dan penambahbaikan sistem itu antara tumpuan yang dicadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mohd Na'im berkata, beliau sendiri telah menyertai sesi libat urus bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan menyatakan pelbagai hasrat serta cadangan termasuk usaha menaik taraf MYeHALAL.

"Seperti sekarang isu halal antara perkara yang dibangkitkan, justeru kami telah memohon pertimbangan bagi peruntukan tambahan untuk pembangunan sistem digital itu.

"Kementerian lain turut membawa hasrat masing-masing dan kita serahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan untuk menentukan dan meletakkan keutamaan dalam Belanjawan ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecermerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Tahun 2024M/1446H di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan untuk pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam di negara ini iaitu meningkat berbanding RM1.5 bilion pada 2023.

"Saya harapkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan terus memberikan perhatian kepada aspek pentadbiran Islam sekali gus memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan memiliki sijil halal.

Artikel Berkaitan:

Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" dijadual dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!