Tabung Haji adakan kunjungan ke Karangkraf
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf sebagai usaha untuk mengenali dan memahami struktur pengurusan operasi syarikat tersebut dengan lebih mendalam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, lawatan itu juga bertujuan menghargai sokongan organisasi berkenaan terutama Sinar Harian yang banyak membuat liputan mengenai TH selama ini.
"Kehadiran kami di Kumpulan Karangkraf ini adalah bagi mempelajari lebih lanjut mengenai perjalanan atau operasi-operasi lain dalam organisasi itu termasuk dari segi platform pencetakan dan media sosial.
“Selain itu juga, kita juga bersyukur kerana melalui lawatan ini kita diberi kesempatan berjumpa dan berkenalan dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Karangkraf,” katanya ketika lawatan tersebut pada Isnin.
Lawatan berkenaan disambut oleh Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Barisan TH yang turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Pelaburan, Muhamad Fairuz Nazmi, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat, Ahmad Shahriman Johari dan Penolong Pengurus Besar (Perhubungan Awam) Bahagian Komunikasi Korporat, Mohamad Naser Jaffar.
Ujar Syed Hamadah, menerusi program itu, pihaknya turut dibawa melawat ke kawasan kilang operasi akhbar Sinar Harian, bilik berita wartawan dan Studio My #QuranTime.
Menurut beliau, organisasi media itu diharap dapat terus menyokong usaha TH dalam meningkatkan mutu perkhidmatan haji kepada barisan jemaah dan para pendeposit badan berkanun tersebut.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat menemui sendiri pengasas Kumpulan Karangkraf iaitu Hussamuddin yang sangat berpotensi serta bersemangat untuk bekerjasama dengan TH.
“Ia termasuk menaikkan mutu perkhidmatan dan jemaah haji supaya dapat kembali dari menunaikan ibadah fardhu itu dengan penuh kebajikan dan memberi manfaat kepada kumpulan tersebut secara amnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!