Keputusan doktrin GISBH diketahui selepas dapat perkenan Majlis Raja-Raja

Mohd Na’im ketika ditemu bual pengamal media selepas Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa ke-64 Tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Isnin. Foto Bernama
Mohd Na’im ketika ditemu bual pengamal media selepas Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa ke-64 Tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi membincangkan mengenai GISBH bermula esok hingga 26 September ini.

"Satu kertas khas yang disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) berkaitan dengan GISBH akan dibentangkan pada jawatankuasa ini esok hingga 26 September di Terengganu. Jawatankuasa ini akan memutuskan tentang GISBH,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

"Dalam bulan Oktober ini kita boleh dapat keputusan perkenan .... Kita sudah ambil tindakan cepat untuk bawa kertas itu dalam perbincangan esok,” katanya.

Mengulas mengenai MTHQA ke-64 yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani", Mohd Na’im berkata, 92 peserta dari 71 negara akan menyertai pertandingan itu yang akan diadakan selama lapan hari bermula 5 Okt di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata, 53 peserta terdiri daripada 39 lelaki dan 14 wanita dari 41 negara menyertai tilawah manakala peserta hafazan sebanyak 39 orang, melibatkan 26 lelaki dan 13 wanita dari 30 negara.

"Malaysia menghantar empat peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu, sementara hafazan pula diwakili Muhammad Rifae'i Mat Zuki (Kedah) dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Perasmian dan Pembukaan MTHQA ke-64 itu nanti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober (Sabtu) jam 8.55 malam.

"Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada 12 Oktober jam 8.55 malam,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!