GISBH: Polis mungkin akan mula guna SOSMA
KUALA LUMPUR - Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan diteruskan secara berfasa dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada termasuk kemungkinan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkaitan kes itu dijalankan dengan berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh.
“Ada dua tiga perkara yang perlu dijelaskan dalam perkara ini. Bagi pihak PDRM, kita akan menyiasat di bawah undang-undang yang ada dalam Malaysia.
"Siasatan mengikut Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia dan akta-akta lain," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Isnin.
Razarudin berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan menentukan berkaitan akidah.
“Mengenai tindakan mengikut SOSMA... kita ke arah itu,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.
Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!