Akademi Keselamatan Siber ditubuh untuk tampung lebih 26,000 kekosongan tenaga kerja

Ahmad Zahid Hamidi. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Akademi Keselamatan Siber akan ditubuh bagi menampung lebih 26,000 kekosongan tenaga kerja dalam bidang itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, akademi itu akan diletak di bawah penyelarasan CyberSecurity Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir keselamatan siber yang mendesak dalam kalangan syarikat semikonduktor dan berasaskan elektronik.

"Penubuhan ini penting kerana banyak universiti menawarkan khusus sama dari segi akreditasi tetapi akademi ini adalah sebuah badan yang menyelaraskan bentuk-bentuk kursus yang diadakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) di sini pada Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, pembangunan bakat dalam bidang keselamatan siber di Malaysia perlu dipertingkat terutama dalam situasi negara berhadapan dengan ledakan teknologi digital sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Justeru itu, beliau berkata, penubuhan akademi berkenaan adalah untuk membangunkan kepakaran tenaga kerja tempatan dalam bidang keselamatan siber melalui program peningkatan kapasiti dan kompetensi yang berstruktur secara berterusan.

Beliau juga berkata, MTVET bersetuju elemen TVET akan diterap dalam modul Program Latihan Khidmat Negara sebagai pendekatan menyebar luas potensi dan bidang kerjaya berteraskan TVET kepada para peserta. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!