Para Sukma: Noorhelmie akhiri penguasaan Afiq dalam 100m

Noorhelmie (kanan) beraksi dalam acara 100m lelaki T12 pada Para Sukma Sarawak 2024 di Stadium Sarawak.
Noorhelmie (kanan) beraksi dalam acara 100m lelaki T12 pada Para Sukma Sarawak 2024 di Stadium Sarawak.
A
A
A

ATLET Selangor, Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi akhirnya merampas emas 100 meter (m) lelaki T12 (kecacatan penglihatan) daripada juara bertahan, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah pada Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 selepas hanya mampu merangkul pingat perak dalam dua edisi sebelum ini.

Lebih manis, kejutan dilakar Noorhelmie pada saingan hari pertama olahraga di Stadium Sarawak itu menyaksikan beliau menamatkan dominasi Muhamad Afiq sejak edisi 2018 di Perak, selain meleburkan rekod pelari Johor itu iaitu 11.40 saat (s) juga pada edisi sama, dengan catatan masa baharu 11.38s.

Muhamad Afiq yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 11.10s ketika membawa pulang perak pada Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja terpaksa akur dengan perak di Bumi Kenyalang (11.54s) dan rakan senegerinya, Amri Muqtadar Asrulnazri memperoleh gangsa (11.90s).

“Sukar atasi Muhammad Afiq dan sering tewas kepadanya sewaktu sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. Selepas saya tahu Muhamad Afiq cedera (paha kiri) saya fikir boleh kalahkan dia namun tidak jangka dapat pecahkan rekod temasya hari ini.

“Pada waktu saringan pagi tadi pun saya hanya lakukan 11.60s. Bagaimanapun, alhamdulillah rezeki milik saya dan ini juga emas pertama olahraga buat Selangor,” kata Noorhelmie.

Bagaimanapun, beliau mengakui kejayaan sebenar mengatasi pesaing utamanya itu hanya boleh diukur sekiranya Muhamad Afiq bebas daripada sebarang kecederaan selepas ini.

Menurut atlet berusia 23 tahun yang mengikuti program pelapis MSN itu, beliau meminati bidang sukan sejak kecil lagi dan tidak melihat kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk mencipta kejayaan dalam hidup.

“Saya pernah terjatuh sewaktu bayi dan mengalami pendarahan di kepala sehingga menyebabkan mata sebelah kanan kabur dan kiri pula tidak dapat melihat langsung.

Artikel Berkaitan:

"Ketika waktu sekolah pun saya kurang berjaya namun ia tidak menghalang saya untuk berjaya dalam hidup menerusi sukan,” katanya.

Noorhelmi yang mengagumi bekas juara dunia 100m lelaki dari Jamaica, Yohan Blake, juga menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah buat isteri, Nurmasyitah Roselan, 24, yang akan melahirkan cahaya mata kedua mereka dijangka pada November ini.

Sementara itu, Muhamad Afiq, yang merupakan pemenang Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast berkata, beliau mengambil risiko untuk bertanding pada Para Sukma kali ini biarpun dihimpit kecederaan selama hampir tiga bulan.

“Saya baru habis rehab namun masih tidak sembuh sepenuhnya dan latihan pula hanya dua minggu sebelum ke Sarawak. Memang tak berpuas hati dan terkilan tidak menang emas ketiga berturut-turut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!