PRK Mahkota: Onn Hafiz rayu pengundi Cina jangan buat keputusan ikut emosi

Onn Hafiz dan Syed Hussien bersama masyarakat Tionghua pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang pada Isnin.
Onn Hafiz dan Syed Hussien bersama masyarakat Tionghua pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengetepikan emosi yang boleh menjejaskan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini, sekali gus menghantar isyarat positif kepada pelabur negeri ini.

Menurutnya, penting untuk membuktikan kestabilan yang wujud dalam kerajaan negeri bagi merealisasikan setiap perancangan yang dibuat khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi yang turut melibatkan kerjasama pelabur asing.

"Saya memang sedih bila dia (media) tanya tentang (pengundi) Cina akan boikot (calon BN)...kerana mesej yang akan disampaikan kepada pelabur-pelabur akan menunjukkan bahawa Johor ini tidak stabil, jangan datang (melabur) di Johor, dan kita tak mesra. (Sedangkan) dalam hati kita semua mahu bangunkan ekonomi Johor.

"Kebanyakan yang berada di dalam dewan ini adalah tauke-tauke, pengerusi-pengerusi persatuan, pengerusi-pengerusi tokong, pemimpin-pemimpin masyarakat yang berpengaruh...saya merayu.

"Jangan terikut-ikut dengan (sentimen di) media sosial, kita kena perlu lebih rasional. Saya tahu banyak keputusan dibuat secara emosional. Tapi ini adalah masa untuk beremosi demi kebaikan negeri Johor. Kita bulatkan tekad untuk bangunkan Johor ini bersama," katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang di sini, pada Isnin

Masyarakat Tionghua tidak melepaskan peluang bergambar bersama Onn Hafiz pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang pada Isnin.
Masyarakat Tionghua tidak melepaskan peluang bergambar bersama Onn Hafiz pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendedahkan terdapat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan surat layang di kawasan perumahan penduduk majoriti Cina.

Dalam terjemahan surat layang berkenaan, pengundi Cina digesa supaya tidak undi BN dalam PRK Mahkota sebagai memberi pengajaran kepada UMNO yang didakwa sombong.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz dalam satu wawancara bersama akhbar Cina menzahirkan kekecewaan sekiranya benar wujud gerakan boikot undi yang seolah-olah memberi hukuman kepada kerajaan Johor di bawah kepimpinan beliau, sedangkan setiap usaha dalam memajukan negeri ini tidak pernah mengetepikan kepentingan semua kaum.

Sementara itu, dalam ucapan sama Onn Hafiz memberi jaminan akan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi merealisasikan agenda Maju Johor 2030.

Beliau juga akan memastikan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bekerja bersama dengan lebih kuat sekiranya diberikan mandat dalam PRK nanti.

"Di peringkat negeri, kita adalah kerajaan yang bekerja untuk rakyat tak kira warna kulit dan juga agama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!