MITI pantau impak koronavirus ke atas perdagangan dengan China

Dr Ong Kian Ming
Dr Ong Kian Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memantau perkembangan mengenai wabak 2019 novel koronavirus dalam negara yang menjadi rakan dagang Malaysia dan mempunyai aktiviti perdagangan dengan China.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya Dr Ong Kian Ming berkata, Malaysia tidak perlu terlalu bimbang mengenai wabak yang sedang berlaku itu dan terlalu awal untuk menganggarkan impaknya ke atas aktiviti perdagangan dan pelaburan.

"Sebab saya fikir terlalu awal untuk menganggarkannya kerana lazimnya aktiviti pembuatan di China semasa tempoh Tahun Baru Cina amat rendah. Kebanyakan kilang ditutup untuk sekurang-kurangnya seminggu atau kadangkala lebih daripada seminggu.

“Tidak dinafikan, akan terdapat gangguan dalam rantaian bekalan di China dan juga rantaian bekalan global akibat virus ini, yang boleh menghalang aktiviti pembuatan dijalankan di China; tetapi kami tidak tahu sejauh mana kesan negatif itu," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia pada 2019 di sini.

Beliau berharap dua minggu akan datang akan memberikan lebih banyak kepastian mengenai tahap masalah koronavirus.

"Kami berharap untuk menyaksikan pemulihan, bukan hanya oleh China tetapi juga negara lain yang menjalankan perdagangan atau perniagaan dengan China; mungkin turun sedikit pada Februari dan Mac untuk perdagangan dan pengeluaran.

"Tetapi apabila semuanya kembali normal (diharap) secepat mungkin, kita akan dapat menyaksikan peningkatan semula angka-angka ini pada suku kedua tahun ini," katanya.

Mengambil wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 sebagai rujukan, Kian Meng menjangka China akan mengalami kelembapan ekonomi pada suku pertama tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak tahu tahap kelembapan itu, dan disebabkan kepentingan China dalam perdagangan global dan rantaian nilai ekonomi pada masa ini, kesannya mungkin lebih besar berbanding SARS pada 2003," katanya.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!