Polis siasat kes Mufti Perlis terima ugutan isu GISBH

Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan susulan mesej ugutan diterima Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Maza pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 8.56 pagi semasa Mufti Perlis berada di pejabatnya di Bangunan Dato Mahmud Mat, Kangar, Perlis.

Beliau berkata, Maza menerima pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon yang tidak dikenali.

Menurut beliau, terdapat empat pesanan mesej dihantar berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) membabitkan perniagaan milik syarikat itu yang tidak dapat ditandingi dalam negara.

"Bagaimanapun beliau (Maza) tidak mengendahkan mesej itu, ia menyebabkan individu terbabit menghantar mesej berbaur provokasi dan ugutan.

"Beliau percaya pesanan WhatsApp menunjukkan satu ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi iaitu kafir yang boleh diperang adalah menghalalkan darah.

"Susulan itu, Mufti Perlis telah tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar pada Sabtu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!