Ada ahli GISBH miliki 34 anak, hanya dua anak tinggal bersama

Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan terdapat ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mempunyai 34 anak.

Beliau berkata, siasatan mendapati ahli tersebut mengamalkan poligami dengan beristeri empat dan mempunyai 34 anak.

“Daripada 34 anak, dua anak tinggal bersamanya.

“Kalau kita tanya siapa nama anak dia mungkin dia pun tidak tahu,” katanya ketika sidang akhbar Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini pada Isnin.

Razarudin turut mendedahkan, ahli GISBH dilatih atau didoktrin untuk tidak bercakap benar mengenai anak hasil perkahwinan mereka.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak mereka daripada dikenakan hukuman berhubung pengabaian kanak-kanak.

"Mereka ahli GISBH tidak akan mengaku anak hasil perkongsian perkahwinan mereka sedangkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal adalah anak ahli kumpulan itu.

"Ini adalah satu bentuk penipuan yang telah didoktrainkan dalam kalangan ahli GISBH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kanak-kanak di rumah amal kumpulan itu akan diklasifikasikan sebagai anak yatim.

Dengan kaedah itu, kata beliau, pihak kumpulan boleh mendapat sumbangan daripada orang ramai bagi pengurusan anak yatim.

"Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku bahawa kanak-kanak di rumah amal adalah anak-anak mereka.

"Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk 'anak yatim', sedangkan sebenarnya anak-anak ahli.

"Ia adalah satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujar beliau lagi.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa ahli GISBH ditahan tidak mahu mengaku kanak-kanak di rumah amal adalah anak mereka.

Bagi mereka, jelasnya, lebih baik tidak mengaku kerana tidak ada kesalahan berhubung perkara itu.

Selain itu kata beliau, kanak-kanak juga telah didoktrin untuk mengaku sebagai anak yatim dan tidak mengenal ibu bapa masing-masing.

Tambahnya lagi, hasil keterangan direkodkan, pihak polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya di bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang merupakan kalangan ahli kumpulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!