Inflasi rendah dorong ringgit teruskan kenaikan berbanding dolar AS

Pada 6 petang Isnin, ringgit meningkat kepada 4.2000/2060 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 ketika ditutup pada Jumaat.
Pada 6 petang Isnin, ringgit meningkat kepada 4.2000/2060 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 ketika ditutup pada Jumaat.
A
A
A

RINGGIT ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila kadar inflasi domestik yang lebih rendah membantu ringgit meneruskan kenaikan yang dicatatkan baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2000/2060 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini Malaysia iaitu bagi Ogos 2024 merekodkan 1.9 peratus, lebih rendah daripada kadar 2.0 peratus semasa tiga bulan berturut-turut sebelum itu.

Beliau berkata, itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Malaysia, dengan inflasi kekal terkawal.

Oleh itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak melaksanakan langkah pelonggaran yang sama seperti yang diambil Rizab Persekutuan AS (Fed) dan bank pusat utama lain, katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, BNM kekal berhati-hati mengenai risiko inflasi yang berpotensi, terutama apabila rasionalisasi subsidi bahan api RON95 masih belum diputuskan.

"Daripada perspektif pelabur asing, aset dalam denominasi ringgit adalah menarik, yang menyokong ringgit berbanding dolar AS,” katanya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd pula menjelaskan ringgit ditutup pada paras paling kukuh dalam tempoh dua setengah tahun minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Menerusi laporan aliran dana mingguannya, bank pelaburan itu menambah ringgit Malaysia meningkat sebanyak 2.3 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS, ditutup pada RM4.204, paras paling kukuh dalam tempoh sejak Mac 2022.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.6645/6712 daripada 4.6878/6950 ketika ditutup pada Jumaat, dan meningkat berbanding pound British pada 5.5805/5885 daripada 5.5841/5928.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9238/9282 daripada 2.9182/9229.

Mata wang domestik diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.7203/7451 daripada 12.7026/7288 ketika ditutup Jumaat lepas.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2503/2552 daripada 3.2507/2559, dan lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.52 daripada 7.55/7.56.

Ringgit juga lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 276.1/276.7 daripada 277.2/277.8. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!