EAIC rujuk tatatertib AADK berkaitan salah laku pegawai

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merujuk kepada pihak berkuasa tatatertib Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkaitan salah laku seorang pegawai agensi berkenaan di Kedah.

Unit Komunikasi Korporat EAIC menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya sebelum ini menerima aduan berkaitan individu terbabit yang merupakan bekas ketua unit AADK di sebuah daerah di negeri itu.

"Beliau dikatakan melindungi individu yang telah disahkan positif dadah dan gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin Orang Yang Disiasat (OYDS).

"Siasatan sepenuhnya telah dijalankan ke atas aduan ini mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]," katanya pada Isnin.

Katanya, selepas siasatan dijalankan, EAIC mendapati bahawa terdapat beberapa salah laku berupa kesalahan tatatertib yang telah dilakukan pegawai berkenaan.

"Pegawai terbabit didapati gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing OYDS yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.

"Perkara ini menyebabkan berlakunya kelengahan selama hampir setahun enam bulan untuk menyerahkan keputusan saringan air kencing tersebut kepada pihak majikan OYDS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu, pegawai terbabit didapati gagal memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang beliau bertugas di cawangan AADK berkenaan.

"Turut didapati dalam siasatan dijalankan adalah dua Pembantu Antidadah di cawangan terbabit yang ditugaskan menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS didapati telah gagal untuk mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS dengan teratur," katanya.

Tambahnya, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya pada 10 September lalu telah mengesyorkan beberapa hukuman yang patut dikenakan ke atas pegawai berkenaan.

"Antaranya menangguhkan pergerakan gaji selama enam bulan atas kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang adil dapat diambil terhadap OYDS oleh majikannya.

"Mengeluarkan terhadap pegawai terbabit kerana gagal untuk memastikan Buku Rekod Penghantaran sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur.

"Selain itu, amaran turut dikeluarkan terhadap dua orang Pembantu Antidadah AADK cawangan terlibat kerana gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Air Kencing dengan sewajarnya," katanya.

Jelasnya, perkara itu telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!