SRA JAIM bakal dijenamakan dengan nama tokoh agama, ilmuwan Islam

Tun Mohd Ali (dua, kanan) melawat bilik darjah selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas pada Isnin. Foto Bernama
Tun Mohd Ali (dua, kanan) melawat bilik darjah selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kesemua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bakal dijenamakan semula secara berperingkat dengan menggunakan nama tokoh agama dan ilmuwan Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula bulan ini dalam memberi imej baharu kepada institusi pendidikan Islam di negeri itu.

"Sebelum ini, SRA JAIM lebih dikenali dengan nama di sesebuah kawasan sekolah itu dibangunkan, jadi penjenamaan nama itu dilihat bersesuaian dengan imej sekolah agama itu sendiri.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat memberi pengetahuan dan pendedahan mengenai tokoh agama dan ilmuwan Islam sejak zaman Rasulullah SAW kepada pelajar dan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Tun Mohd Ali (kanan) melawat bilik guru selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas pada Isnin. Foto Bernama
Tun Mohd Ali (kanan) melawat bilik guru selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas pada Isnin. Foto Bernama

Dalam pada itu, Rahmad berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.41 juta bagi projek selenggara dan naik taraf 149 SRA JAIM di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun lepas, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan berjaya membina lima SRA JAIM baharu, iaitu SRA JAIM Seri Duyong; SRA JAIM Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas; SRA JAIM Air Merbau, Jasin; SRA JAIM Durian Daun, Masjid Tanah dan SRA JAIM Melaka Pindah.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi projek pembinaan beberapa lagi bangunan baharu SRA JAIM yang sudah dimasukkan dalam senarai projek Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!