Israel ancam serangan berskala besar di Lubnan

Kepulan asap tebal memenuhi kawasan sempadan Lubnan-Israel berikutan pertempuran semakin sengit pada Isnin. Foto AFP
Kepulan asap tebal memenuhi kawasan sempadan Lubnan-Israel berikutan pertempuran semakin sengit pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Isnin memberi amaran tentang serangan udara berskala besar ke atas Lembah Bekaa di Lubnan.

"Kami sedang siap siaga untuk melancarkan operasi itu. Orang awam di sekitar kawasan itu perlu berpindah atau menjauhkan diri mereka dari markas pejuang Hizbullah demi keselamatan masing-masing," kata jurucakapnya, Laksamana Muda, Daniel Hagari, beberapa jam selepas IDF membedil kubu kuat pejuang Hizbullah dan mengorbankan 100 orang termasuk kanak-kanak.

Ancaman itu dibuat rejim Zionis, sehari selepas Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Kassem menyatakan konflik bersama Israel kini memasuki fasa baharu.

“Sudah tiba masanya untuk ‘pertempuran tanpa had’. Hanya pelaksanaan gencatan senjata secara kekal di Genting Gaza akan menghentikan serangan rentas sempadan.

“Tindakan operasi ketenteraan musuh hanya akan mengeruhkan lagi situasi di Israel dan mengancam komuniti Yahudi di utara,” katanya yang turut menghadiri pengebumian ketua unit elit Briged Radwan, Ibrahim Aqil dan Mahmoud Hamad yang gugur syahid di tangan rejim Zionis pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, IDF mengumumkan mahu ‘memperluaskan’ perang bagi membolehkan orang awam kembali ke kawasan berhampiran sempadan yang masih menjadi medan tempur.

“Penduduk Yahudi di utara tidak akan dapat pulang ke kediaman mereka, sebaliknya lebih ramai akan hilang tempat tinggal angkara kegilaan IDF mahu berperang.

“Hentikan perang di Gaza, hanya itu penyelesaian kemelut ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ketegangan semakin memuncak antara Hizbullah dan Israel sejak minggu lalu setelah kedua-dua seteru lama itu saling berbalas serangan, malah Setiausaha Agung, Hassan Nasrallah juga berada dalam senarai bunuh rejim Zionis.

“Israel telah melakukan tiga jenayah perang terhadap Hizbullah dan mereka melakukan keganasan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Rancangan jahat mereka menyasarkan pemimpin Briged Radwan untuk melumpuhkan gerakan ini tidak akan berjaya. Ia tidak akan sesekali menghentikan perjuangan gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel dan kami sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang konfrontasi ketenteraan,” tegasnya.

Ketika komuniti antarabangsa cuba menghalang peperangan lebih besar tercetus di rantau Asia Barat, Ketua Turus IDF, Herzi Halevi dengan angkuh menyatakan ia bakal melancarkan operasi seterusnya dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Susulan risiko perang yang semakin hampir, komuniti di sempadan telah membuat persediaan awal termasuk menutup sekolah.

Media tempatan melaporkan penduduk di Beirut turut menerima mesej amaran dihantar IDF melalui telefon bimbit masing-masing yang mengarahkan mereka berpindah segera. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!