Gelanggang khas sepak takraw pantai ditagih untuk saingi Kejohanan Asia - Hafizie
MOHD Hafizie Manap melihat wujudnya keperluan Malaysia mempunyai gelanggang khas sepak takraw pantai dan tempoh persediaan yang lebih panjang sekiranya mahu pasukan lebih berdaya saing.
Pencapaian tempat ketiga dalam acara regu dan tersingkir seawal pusingan pertama trio Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 di Qingdao, China yang berakhir petang ini menguatkan hujah jurulatih negara ini.
“Kami masih menyamai siri pencapaian pasukan negara sebelum ini, edisi 2019 juga di Qingdao dan Sukan Pantai Asia (ABG) di Bali 2008 dan Da Nang 2016.
“Kami ada sasaran hendak memecahkan dan mencipta sejarah baharu dengan ke final tetapi tidak kesampaian,” kata bekas apit kiri skuad pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010 ini.
Akui Hafizie, 40, pasukan negara yang kesemuanya Bawah 21 tahun atau digelar Malaysia B tidak mempunyai gelanggang sepak takraw pantai khusus untuk berlatih sebelum ke Pantai Emas Qingdao di wilayah Shandong itu.
Anak-anak buahnya dihampakan Vietnam 15-11, 8-15, 11-15 pada separuh akhir regu manakala musuh tradisi kita, Thailand menumpaskan mereka 15-10, 15-11 dalam pusingan pertama trio yang dipinda formatnya kepada kalah singkir sahaja.
“Memandangkan apabila sudah ada dalam kalendar pertandingan, persiapan pasukan negara dan venue latihan perlu diambil berat.
“Gelanggang seumpamanya setahu saya hanya ada di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan MBSA (Majlis Bandar Raya Shah Alam),” katanya yang berpengalaman bermain acara ini dalam Kejohanan Asia Tenggara 2007 di Bengkalis, Riau, Indonesia.
Malaysia katanya, perlu serius menjalankan persediaan bagi acara pantai kerana turut berpotensi mengundang kilauan podium yang lebih baik, naib juara mahupun juara.
“Menentang Thailand, kami mampu menyaingi, ada ketikanya mendahului satu dua mata set pertama dan kedua.
“Lawan pun ada buat kesilapan dan tampak bimbang dengan kami. Corak permainan mereka saya dapati, bertaktikal dengan gemar menujukan pemain kita yang sama apabila sukar mengambil servisnya.
“Kami bermain terlalu hati-hati dan ada ketikanya lebih sebagai nekad mencuba sahaja biarpun sudah memberi tentangan habis-habisan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!