TDM sahkan anggota 9 Briged maut terkena tembakan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SIBU - Seorang anggota tentera yang maut setelah terkena tembakan yang tidak pasti di daerah Song awal hari ini adalah daripada formasi 9 Briged di Sibu dan sedang melaksanakan latihan di kawasan itu dari 21 hingga 29 September ini.

Mengesahkan kejadian itu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, anggota itu sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song yang berkekuatan satu kompeni.

Sebelum kejadian, platun yang dianggotai mangsa sedang berehat telah terdengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh pada jam 2.45 pagi.

"Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan. Curiga dengan tembakan itu, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta-merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan berkenaan," menurut kenyataan itu.

Anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira jam 5 pagi.

Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu.

Menurut TDM, pengurusan jasad akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai dan pihak waris mangsa yang berada di Sarikei telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian.

TDM turut menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga mangsa dan mendoakan semoga mereka diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian itu.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat juga diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden terbabit bagi memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan, selain untuk menghormati waris dan ahli keluarga.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Song Deputi Superintenden Rowney Michael Jalak ketika dihubungi Bernama berkata, anggota tentera yang terbabit dikenal pasti sebagai Petrus Linggi Liman, 29, mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan punggung kiri.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek yang belum dikenal pasti sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Kapit esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!