Tiada istilah kartel baja

Zamri (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, Zalifudin Md Arshad (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kiri) ketika Pelancaran Baja Cecair Pelepasan Terkawal - Peladang 25 sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang baru-baru ini.
Zamri (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, Zalifudin Md Arshad (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kiri) ketika Pelancaran Baja Cecair Pelepasan Terkawal - Peladang 25 sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak wujud istilah kartel atau monopoli dalam pembekalan baja oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob menegaskan, meskipun menghadapi kelewatan pembaharuan kontrak pembekalan daripada kerajaan, pertubuhan itu terus membekalkan baja kepada pesawah tanpa henti.

"Keutamaan kami adalah memastikan pesawah menerima baja tepat pada waktunya walaupun dalam situasi yang menuntut fleksibiliti kewangan dari pihak NAFAS.

"Melalui inisiatif seperti program Zero Late Delivery, NAFAS turut memperkukuh tadbir urus dalam pembekalan baja bagi memastikan proses yang lebih telus dan efisien," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 menegaskan, amalan kartel dalam sektor pertanian negara mesti dan wajib dihentikan.

Anwar berkata, amalan lama mengimport benih secara kartel dan monopoli perlu dihentikan serta-merta dengan mengambil kira apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara ini.

Dalam pada itu Zamri menjelaskan, pihaknya menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) telah menambah 30,000 tan metrik simpanan stok baja padi serta penambahbaikan proses penghantaran mengikut jadual pembekalan.

Artikel Berkaitan:

Produk baharu NAFAS, Peladang 25 yang dilancarkan sempena MAHA 2024.
Produk baharu NAFAS, Peladang 25 yang dilancarkan sempena MAHA 2024.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bagi memastikan proses pengagihan baja dipantau rapi supaya pesawah menerima bekalan tepat pada waktu dengan kualiti terbaik.

"Baja yang diedarkan kepada pesawah ke seluruh negara menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan diproses dan dihasilkan di kilang milik NAFAS iaitu MNFSB yang beroperasi di Gurun, Kedah.

"Ia merupakan kilang baja Bumiputera terbesar di Malaysia yang dimiliki secara bersama oleh bersama kerajaan dan saham ahli peladang berjumlah RM148 juta.

"Pembekalan baja kepada pesawah pula melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang membuat pesanan, seterusnya baja yang dibekalkan oleh NAFAS akan dihantar kepada pesawah berdaftar sebagai ahli Peladang," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!