Polis siasat kes anggota tentera maut ditembak
SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes melibatkan seorang anggota tentera yang maut akibat terkena tembakan ketika melaksanakan latihan di daerah Song, Sibu pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi berkaitan.
"Siasatan berkaitan kejadian ini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mangsa akan dibedah siasat pada esok (Selasa)," katanya pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota tentera daripada formasi 9 Briged di Sibu maut dipercayai ditembak ketika melaksanakan latihan di kawasan terbabit.
Mengesahkan kejadian itu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, anggota itu sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song yang berkekuatan satu kompeni.
Sebelum kejadian, platun yang dianggotai mangsa sedang berehat telah terdengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh pada jam 2.45 pagi.
Anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira jam 5 pagi.
Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!