Kadar purata air tidak berhasil menurun di Selangor

Suhaimi Kamaralzaman
Suhaimi Kamaralzaman
A
A
A

SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menurunkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) sebanyak 1.78 peratus dari 30.51 peratus pada tahun 2018 kepada 28.73 peratus tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, penurunan itu melibatkan jumlah yang besar iaitu menyamai 64.65 juta liter sehari (JLH) atau 11,754 lori tangki sehari atau 26 buah kolam renang bersaiz Olimpik.

Menurutnya, perancangan rapi dan pelaksanaan beberapa inisiatif sejak tahun 2017 berjaya membantu penjimatan kos operasi Air Selangor sebanyak RM35.4 juta.

"Sebanyak 2,787 kes paip pecah telah direkodkan pada 2019, berkurangan 28 peratus berbanding 3,871 kes pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 295 kes adalah disebabkan oleh pihak ketiga.

"Ini membuktikan bahawa pada tahun 2019 Air Selangor telah mencapai pencapaian yang amat baik. Ia menyamai sembilan kes bagi setiap 100 kilometer (km) berbanding Indeks paip pecah (PBI) iaitu 13 kes paip pecah bagi 100km setahun," katanya.

Suhaimi berkata, usaha penurunan NRW diteruskan tahun ini melalui peruntukan pelaksanaan program dan penggantian meter dengan kos sebanyak RM171.6 juta.

"Selain itu, sebanyak RM144.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta pada 2019 untuk penggantian paip sepanjang 168.34km.

"Air Selangor yakin inisiatif dan program berterusan yang dijalankan untuk mengurangkan kadar NRW akan terus menghasilkan kadar penurunan NRW yang baik menjelang hujung tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan prestasi semasa itu, beliau yakin Air Selangor mampu mencapai sasaran penurunan sebanyak satu peratus kadar NRW setiap tahun mampu dicapai untuk tahun berikutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!