Akta 852 beri pelindungan kepada masyarakat terutama kanak-kanak

Akta 852) bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk berkenaan (rokok dan rokok elektronik atau vape). Gambar hiasan
Akta 852) bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk berkenaan (rokok dan rokok elektronik atau vape). Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk berkenaan (rokok dan rokok elektronik atau vape).

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Muaz Sayuti berkata, akta itu ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru kerana dapat mengawal semua jenis produk rokok yang ada dalam pasaran berikutan ia turut melibatkan soal pendaftaran produk itu dengan KKM.

"Pendaftaran dalam konteks ini bukan seperti ubat-ubatan yang jika berdaftar dengan KKM maksudnya selamat. Pendaftaran melalui akta ini supaya dapat pengawasan dan mengetahui kandungan yang berada dalam produk itu.

"Jika mempunyai kesan kepada kesihatan, akta ini ada kuasa untuk tarik kebenaran terhadap produk terbabit,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Isnin.

Beliau berkata, KKM berusaha untuk meluluskan akta itu kerana perlu ada akta khas yang mengawal produk rokok dan vape sedangkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berada di bawah Akta Makanan 1983.

"PPKHT berada di bawah Akta Makanan 1983, umum mengetahui bahawa rokok dan vape bukan produk makanan. Disebabkan itu, KKM berusaha untuk meluluskan satu akta yang boleh mengawal produk berbahaya itu.

"Dengan lulusnya akta ini, ia merupakan kejayaan besar buat kami di KKM serta masyarakat. Pelbagai perkara berkaitan akan diperincikan dalam peraturan itu terutama kepada golongan kanak-kanak,” katanya.

Dr Muaz turut memaklumkan kos untuk merawat penyakit yang berpunca daripada produk rokok dan vape amat tinggi berbanding cukai yang diperoleh data pada 2020 yang mendapati kerajaan telah kerugian lebih RM3.5 bilion akibat penyakit berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!