Harimau Muda B-19, Korea Utara sama kuat
SKUAD bola sepak Bawah 19 (B-19) negara terus menyalakan pemburuan slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025 apabila melakar keputusan seri tanpa jaringan berdepan Korea Utara di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan pada Isnin.
Harimau Muda B-19 kendalian Juan Torres Garrido yang masih segar kemenangan 2-1 ke Oman aksi Kumpulan E memulakan perlawanan dengan beberapa percubaan ke arah gawang Korea Utara dikendalikan Hong Kil Ryong.
Korea Utara pula memanfaatkan kelebihan fizikal apabila menghadirkan ancaman terhadap jentera pertahanan negara menerusi percubaan gandingan kapten pasukan Choe Kuk dan Ri Kwang Myong.
Malah tonggak tengah Harimau Muda B-19, Muhammad Hykal Danish juga sering menjadi sasaran pemain-pemain skuad kendalian Jon Chol dalam usaha mengekang kelincahannya.
Korea Utara terpaksa beraksi 10 pemain setelah tonggak pertahanan Jon Un Hyok yang dikenakan kad kuning pertama minit ke- 49, dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-65 setelah mengasari Haykal Danish.
Keputusan seri menyaksikan Harimau Muda B-19 negara mengumpul empat mata sama dengan Korea Utara yang menang 4-0 ke atas Sri Lanka.
Anak buah Garrido dijadualkan bertemu tuan rumah Tajikistan pada aksi kedua di venue sama pada Jumaat.
Sebagai rekod, 10 juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China untuk Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari tahun depan.
KUMPULAN E
Keputusan
Oman 1-2 Malaysia
Korea Utara 0-0 Malaysia
JUMAAT
Tajikistan lwn Malaysia
AHAD
Sri Lanka lwn Malaysia
* Venue: Stadium Republican Central, Dushanbe
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!