Lebih 5,000 wanita dijangka sertai Briged An-Nisa

Adnan
Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 5,000 wanita di seluruh negeri Kelantan dijangka menyertai Briged An-Nisa yang akan dilancarkan penubuhannya sempena Program Wanita Kelantan #QuranHour Sabtu ini.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) Datuk Adnan Hashim berkata, wanita yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk profesional, pesara dan surirumah digalakkan menyertai pertubuhan itu.

Menurut beliau, setakat ini lebih 800 ahli wanita dari Rumah Ngaji secara automatik berdaftar sebagai ahli Briged An-Nisa.

"Kesemua mereka akan menjadi penggerak untuk membimbing wanita di Kelantan bagi membantu lelaki terutama suami 'menyelamatkan' diri dan keluarga dari neraka ALLAH SWT seperti frmanNya dalam Surah At-Tahrim Ayat 6, (Misi 666)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Adnan memberitahu, kesemua yang mendaftar melalui program Wanita Kelantan #QuranHour akan dihubungi untuk menyertai briged berkenaan.

"Bagi mereka yang tidak berkesempatan hadir Sabtu ini, boleh menghubungi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan untuk menjadi sebahagian daripada ahli Briged An-Nisa," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, lebih 1,000 wanita daripada pelbagai latar belakang dan usia dijangka memenuhi Dewan Hilir Masjid Muhammadi di sini untuk bersama memuliakan kalam ALLAH SWT dalam program Wanita Kelantan #QuranHour.

Jelas beliau ramai yang sudah mendaftar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mulakan program dengan bacaan surah al-Fatihah, surah al-Baqarah dan mentadabbur surah An-Nisa ayat 94-100 selain ceramah agama bertajuk Bentuk-bentuk jihad wanita dalam pembentukan negara Islam pertama Madinah.

"Turut diadakan ialah forum khas wanita Kelantan dengan tajuk Peranan wanita dalam al-Quran membabitkan panel terkenal tanah air," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!