[VIDEO] Hotel, inap desa bebas tetapkan waktu daftar masuk
SHAH ALAM - Pemilik hotel atau inap desa bebas menetapkan waktu daftar masuk dan keluar premis mengikut kesesuaian dan kemampuan perniagaan masing-masing.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menjelaskan, penetapan tersebut tidak termaktub dalam sebarang undang-undang perhotelan dan ia merupakan polisi syarikat yang perlu dipatuhi pelanggan.
“Waktu daftar masuk dan keluar bergantung kepada peraturan dalaman serta polisi ditetapkan oleh setiap hotel.
“Walaupun waktu daftar masuk yang biasa sekitar jam 2 petang, ada keadaan hotel terpaksa menangguhkan sehingga jam 4 petang atau lebih lewat kerana kekangan tertentu seperti bilik penuh atau kekurangan pekerja.
“Apabila hotel penuh, mereka memerlukan lebih masa untuk mengemas bilik dan menyebabkan kelewatan dalam proses daftar,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai sesetengah hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis bermula jam 4 petang dan daftar keluar pada jam 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya berasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.
Lebih malang lagi, ada pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat daftar keluar walaupun lewat kemasukan akibat menunggu ketersediaan bilik.
Mengulas lanjut, Sri Ganesh berkata, masalah operasi syarikat terutama kekurangan pekerja menjadi punca kelewatan daftar masuk hingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan apabila pendaftaran mereka ditangguhkan.
“Disebabkan kekurangan pekerja, proses mengemas bilik mengambil masa lebih lama dan ia menjejaskan keberkesanan operasi hotel. Sebab itu, mereka ubah polisi hotel supaya sesuai dengan keadaan semasa.
“Harga jualan dalam talian juga semakin murah, selain tiada kawal selia menyebabkan keuntungan hotel menurun. Apabila hotel tiada untung, bagaimana nak ambil ramai pekerja,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!