'Hadiah berjaya ke menara gading untuk arwah umi'

Nur Fatihah (dua dari kanan) menerima sumbangan komputer riba daripada UM yang disampaikan oleh Profesor Dr Zamri (dua dari kiri).
Nur Fatihah (dua dari kanan) menerima sumbangan komputer riba daripada UM yang disampaikan oleh Profesor Dr Zamri (dua dari kiri).
A
A
A

TANAH MERAH - “Hadiah belajar di menara gading ini untuk arwah umi.”

Itu luahan seorang yatim piatu, Nur Fatihah Mohammad, 20, yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Ekonomi di Universiti Malaya (UM).

Nur Fatihah berkata, dia sebelum ini berputus harapan dan hampir saja melupakan impiannya itu kerana tidak mempunyai wang untuk menampung segala keperluan sepanjang berada di universiti.

Nasib dialami anak sulung daripada empat beradik tersebut bagaimanapun mendapat perhatian daripada pihak UM yang bertemu dengannya melalui rombongan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Zamri Radzi di rumah ibu angkat Fatihah di Kampung Pelain, Batu Gajah, di sini.

Profesor Dr Zamri
Profesor Dr Zamri

“Alhamdulillah, UM memberitahu berita gembira apabila membantu saya untuk membayar yuran pendaftaran pengajian berjumlah RM1,120.57.

“Saya amat bersyukur dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Kuala Lumpur bagi mendaftar masuk pada 27 September ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pelain, Batu Gajah di sini.

Nur Fatihah
Nur Fatihah

Artikel Berkaitan:

Ibu Nur Fatihah, Zaiton Mohamad, 48, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru tiga bulan lalu, manakala bapanya, Mohamad Awang, 50, terlebih dahulu dijemput Ilahi akibat strok enam tahun lepas.

“Ibu bekerja sebagai pembantu tadbir di Politeknik Jeli sebelum sakit terlantar dan saya menjaganya sambil belajar serta menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum ini.

“Saya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan berjanji kepada diri sendiri untuk belajar hingga berjaya bagi membela adik-adik,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Nur Fatihah dan dua adik lelakinya berusia 15 tahun, orang kurang upaya (OKU) lembam dan 12 tahun kini tinggal bersama ibu angkat yang juga rakan arwah ibu mereka, Nik Siti Rohaizan Nik Hashim, 44.

Seorang lagi adik lelaki Fatihah berusia 19 tahun tinggal di rumah pusaka nenek mereka di Kampung Kelisa, di sini, sambil menjaga bapa saudara juga OKU terlantar, Zulkifli Mohamad, 53, kerana penyakit saraf.

Sementara itu, Profesor Dr Zamri berkata, selain yuran pendaftaran, pihak UM juga akan membiayai yuran pengajian semesta pertama dan kedua serta penginapan kepada Nur Fatihah sepanjang berada di UM.

“Selepas itu, UM akan melihat mana-mana biasiswa yang sesuai kepada Nur Fatihah dan paling penting, anak ini dapat menyambung pengajiannya.

“Nur Fatihah juga akan diberikan Bantuan Sara Hidup antara RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada keperluan selain kelengkapan belajar seperti komputer riba,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!